Tuesday, January 25, 2011

Safar = Kosong?????

Salam...hendak mengupdate blog sendiri...tibe-tibe terlihat label kat tepi blog...hanya 1 post je untuk BULAN ISLAM???....hurm...punye la byk bulan Islam...hanya 1 post je yg ana post kan...ish...ish...muhasabah balik diri....kita tahu bulan-bulan dlm kalendar LUNAR seperti Januari, Februari dan lain-lain...tp kita kurang mengingati & malah x tahu langsung bulan-bulan ISLAM...ish...ish...teruknye la kita nie sebagai umat Islam.....


Ok, petanyaan untuk shbt2 semua...skrg kita berada di bulan apa ye???...bukan Januari ye jwpn yg ana nak...tp jwpn dlm bulan Islam....mcm mane??..dpt jawab x??...nie blum lg ana tanye bape haribulan..ntah lepas ke x..ish..ish..


ok, x pe la...jwpnnye adalah bulan Safar...ok, apa yg antum semua tahu tntg bulan Safar nie??...mesti ramai yg x tahu kan???..x pe la..kat sini ana nak share pd shbt2 semua info tntg bulan Safar....nie ana petik dr Laman Web Rasmi Jais....mari sama2 kita pahami k....


**********************************************************************************
Kini kita berada dalam bulan Safar. Bulan kedua dalam taqwim Islam yang diperkenalkan oleh Saidina Umar RA. Dinamakan Safar kerana orang-orang lelaki Arab keluar rumah untuk berdagang, menggembara dan menjalankan kegiatan ekonomi di luat tempat tinggal. Rumah-rumah menjadi kosong dan dipenuhi kaum perempuan dan kanak-kanak.

Sejarah juga mencatatkan bahawa beberapa peperangan berlaku dalam bulan ini iaitu peperangan Al Abwa dalam tahun dua hijrah, perang Bani Qainuqak dan Zi Amin pada tahun ketiga hijrah dan Peperangan Khaibar pada tahun keempat hijrah.

Demikian fakta sejarah, namun hakikatnya dalam masyarakat kita hari ini, bulan Safar dikaitkan dengan bala bencana dan musibah hingga menerbitkan beberapa amalan khurafaat dan tahyul dengan harapan dapat menangkis dan menolak musibah tersebut.

Amalan-amalan khurafat bulan safar seperti mandi safar, membuat ancak, melarang mengadakan kenduri kahwin dan percaya adanya burung hantu sebagai tanda kematian masih berurat nadi dalam kehidupan masakini. Amalan, fahaman dan kepercayaan  seperti ini bukan sahaja bercanggah dengan syariat Islam tetapi juga boleh menyebabkan rosaknya akidah.

Nahas dan bala bencana bukan hanya berlaku dalam bulan Safar. Kepercayaan seperti ini perlu ditolak kerana Allah Taala telah memberi amaran kesan dalam surah At Taubah ayat 51 yang bermaksud:

”Katakanlah (Wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawaqal” 

Menurut Garis Panduan Khurafat dan Azimat yang dikeluarkan oleh JAKIM, Khurafat bermaksud cerita atau perbuatan yang direka dan bersifat karut,dusta dan menyimpang dari ajaran Islam. Ia masih berlaku dalam masyarakat kerana faktor sejarah dan kerapuhan iman.Sejarah telah menulis bahawa agama Hindu telah lebih dahulu bertapak di negara ini berbanding Islam. Ini menyebabkan kepercayaan kepada kubur keramat, pokok besar, azimat,  tangkal dan makhluk halus terus bertapak dalam masyarakat..

Pada zaman jahiliyah, orang arab akan merujuk kepada tukang tilik tentang masa depan mereka.. Syed Muhamad Qutb dalam bukunya Jahiliyyah Qarnil Isyrin menyatakan bahawa ia masih berlaku dalam zaman mencabar yang dipenuhi ICT dan serba canggih ini.Berpindah rumah hanya boleh pada hari Rabu, memulakan kerja perlu pada hari Selasa atau Sabtu, meramal nasib dengan memuja keramat adalah beberapa contoh jahiliyah moden yang masih wujud dewasa ini.

Percaya kepada pokok, kubur, telaga yang mempunyai kuasa selain Allah boleh membawa syirik dan bertentangan kepada kepercayaan tauhid kepada Allah. Percaya kepada sial, majal, memuja jin dengan meminta pertolongan darinya seperti dilakukan sesetengah bomoh dan dukun dengan amalan menurun adalah syirik dan menyesatkan. Mereka yang bersahabat dan menggunakan jin seperti tukang sihir dan tilik nasib adalah tergolong di kalangan orang yang bodoh dan menzalimi diri sendiri sebagaimana ditegaskan Allah dalam Surah Yunus ayat 106 yang bermaksud:

”Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah yang tidak mendatangkan manafaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim(terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)”

Terdapat sebahagian umat Islam yang masih percaya bahawa Hari Rabu terakhir bulan Safar merupakan hari turunnya ribuan bala yang menimpa umat. Oleh itu mereka dilarang keluar rumah dan melakukan aktiviti sosial harian kerana ditakuti akan ditimpa musibah. Malah anak-anak pula diminta mandi air tolak bala atau mandi di pantai yang lebih dikenali sebagai Mandi Safar.Sesunguihnya ia adalah kepercayaan karut dan bertentangan dari ajaran Islam.

Malah perbuatan pesta mandi laut telah mengundang kepada dosa lain seperti wujudnya pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batas. Wujud juga ibubapa yang tidak mahu mengadakan kenduri perkahwinan pada bulan ini kerana ditakuti pasangan akan menjadi tidak bahagia atau tidak mendapat zuriat. Kepercayaan seperti ini boleh menjadi syirik kerana kita lebih mempercayai bulan dan bukan kuasa Allah.

Sebenarnya nahas dan bala bencana tidak hanya berlaku dalam bulan Safar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

”Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena(baik atau buruk) melalui burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis”
 (Hadis riwayat Bukhari)


Sesungguhnya mempercayai perkara yang disebutkan menjadikan umat Islam semakin mundur, malas berusaha dan hanya berserah kepada takdir. Di kala umat lain berlumba-lumba meneroka ilmu dan mencapai kejayaan, umat Islam seolah-olah berundur dan tertinggal ke belakang.

Kita menjadi tidak produktif kerana tidak dibenarkan keluar rumah pada hari Rabu terakhir bulan Safar. Kesemua kegiatan ekonomi terbantut. Minda kita menjadi jumud dan tidak berkembang kerana mempercayai fahaman karut tersebut.Malah dalam kontek hubungan kita dengan Allah Taala, kita telah melakukan satu dosa besar tanpa disedari iaitu syirik. Ingatlah peringatan Rasululullah SAW tentang tujuh perkara yang membinasakan yang perlu dijauhi di mana syirik merupakan perkara yang terletak di nombor satu.

Amalan penggunaan azimat, tangkal sebagai pelindung diri seperti kebal, ilmu pengasih, ilmu pelembut hati yang dicampuradukkan dengan sihir juga adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


”Dari Ibn Mas’ud:rasulullah SAW bersabda:Sesungguhnya jampi mentera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Sungguhpun jampi mentera diharuskan sebagaimana duiceritakan oleh para sahabat yang bertanya kepada Rasulullah, Syeikh Yusof Qardawui telah menggariskan tiga syarat seperti yang terdapat dalam bukunya Fatawa Al Muasirah


1)    Ia mesti didasarkan kepada Allah SWT dan nama-namaNya
2)    Ia mestilah dituturkan dalam bahasa Arab dan kata-kata yang boleh difahami maksudnya
3)    Beriktikad bahawa ianya tidak memberi kesan dengan sendirinya tetapi dengan takdir Allah SWT

Aqidah murni menjadi sendi dalam masyarakat, tauhid menjadi paksi dan rohnya. Oleh itu, agenda memperkukuh akidah merupakan tugas setiap individu. Ilmu agama yang cetek perlu didalami kerana ia merupakan benteng paling berkesan dari terjebak ke lembah khurafat dan syirik.

Cari maklumat, rujuk guru dan kitab. muktabar agar ia menjadi pendinding dari amalan yang sia-sia dan dilaknati Allah.

Wallahu A’alam
Disediakan Oleh :

Nordin bin Bayadi
Unit Penerangan dan Penerbitan
Bahagian Dakwah, JAIS
**********************************************************************************
KOME POWER!!! 
~mardhatillah~

No comments: